Mesyuarat Pidato 21 Disember 2009

Posted on Wednesday, January 06, 2010 by areaw7


Sebelum tahun ini berakhir, ada satu lagi perkara yang ingin saya lakukan. Satu perkara yang sungguh mencabar memandangkan penguasaan Bahasa Malaysia saya memang tidak mengkagumkan. Saya terasa ingin menyertai mesyuarat Toastmasters Pidato.

Secara kebetulan, pada pagi ini saya diberitahu mesyuarat Pidato mungkin akan diadakan pada malam ini. Setahu saya, Puan Zaharah adalah Koordinator Pidato and beliau mungkin tahu tentang mesyuarat Pidato ini. Jawapan beliau kepada pertanyaan saya seperti berikut:

“Ya, ada mesyuarat Pidato KL. Mesyuarat bermula 8 mlm. Makanan dijamu jam 7.30 mlm. Jemputlah datang. Salam, Zaharah”

Selepas menerima berita ini, saya teragak-agak pula. Patutkah saya menghadiri mesyuarat ini sedangkan bertutur dalam Bahasa Malaysia bukan suatu perkara yang paling mudah bagi saya ? Kemudian, terfikir pula kalau tidak cuba, memang tidak akan tahu selama-lamanya.

Pada pukul 7.50 malam, saya tiba di tempat mesyuarat iaitu di Wisma UOA Pantai, Jalan Pantai Jaya. Kami menjamu nasi lemak untuk makan malam sebelum memulakan mesyuarat. Saya telah bersetuju mengambil peranan Pengira Penggunaan Ah (Ah-Counter). Saya memang tidak berkeyakinan mencuba peranan yang lain seperti

Ucapan Inspirasi (Invocation)
Pengacara Ucapan Spontan (Table Topics Master)
Pelawak (Humour Master)
Penilai Penggunaan Bahasa (Grammarian)
Penilai Perdana (General Evaluator)
Penilai Ucapan Spontan (Table Topics Evaluator)
Penilai Ucapan (Speech Evaluator)

Sememangnya, inilah kali pertama saya menyandang peranan Pengira Ah. Saya tidak pernah mencuba peranan ini dalam mana-mana mesyuarat Toastmasters sebelum ini. Cabaran yang seterusnya ialah menjalankan peranan ini dalam pertuturan Bahasa pula.

GEMPAR adalah perkataan hari ini (Word of the Day). Ini amat sesuai untuk mesyuarat Pidato terakhir tahun 2009 kerana mesyuarat ini sungguh mengemparkan. Ia diacarakan oleh pengacara (TME) yang penuh bakat and bersemangat. Pengacara mesyuarat ini tidak asing, tidak lain lagi ialah Mohd Hadzrin Shah, Gabenor Kawasan W2. Ucapan beliau penuh dengan kata-kata yang indah. Malangnya, saya tidak memahami kesemua ucapan beliau (dengan istilah-istilah yang indah tetapi asing kepada saya). Jadi saya meminta penilai Bahasa yang berpengalaman, Puan Zaharah, untuk memberi sedikit penerangan selepas mesyuarat kami berakhir.


Hadzrin Shah adalah Pengacara, Pelawak and Penilai Ucapan Spontan

Dalam sesi ucapan spontan, setiap hadirin diminta mengambil bahagian. Walaupun penuh dengan keraguan, saya mengambil bahagian juga. Saya tidak pernah rasa ucapan spontan adalah perkara yang mudah walaupun bertutur dalam Bahasa Inggeris untuk mesyuarat Toastmasters Friendship. Apatah lagi untuk mencuba dalam Bahasa Malaysia!

Leganya perasaan saya apabila dapat berucap 1 minit 30 saat dalam ucapan spontan pertama saya di Kelab Pidato KL. Kami bergelak ketawa semasa sesi ucapan spontan, terutamanya ketika mendengar ucapan pengacara kami, sebab beliau memang hebat dengan persembahannya yang penuh dengan jenaka.

Sesi ini disusuli oleh ucapan project ke-5 Pergerakan Tubuh daripada buku panduan Pemidato Cekap (Competent Communicator manual) oleh Puan Zaharah. Ucapan beliau yang bertajuk Pengarah Syarikat penuh dengan semangat dan maklumat untuk para penonton. Sesi Penilaian pula amat menarik bagi saya kerana ia suatu pengalaman yang berbeza. Ini adalah pertama kalinya saya mendengar kata-kata seperti ucapan yang jitu dan lancar, dan juga imbasan mata.


Abu Bakar Ngah adalah Penilai Perdana

Selepas mesyuarat malam ini, saya terima pula utusan yang menarik daripada pengacara yang menggemparkan:

Dari: Hadzrin Shah
Tarikh: Selasa, Disember 22, 2009 12:03 AM
Tajuk: Kelab Pidato KL - Mesyuarat GEMPAR KE-14 pada 21 Dis 2009

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Sepantas kilat dan setangkas halilintar yang menyambar, saya ingin
Ucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada ahli-ahli dan tetamu yang hadir pada mesyuarat hari ini. Anda semua telah membuat mesyuarat kita gempar!

Namun, ada satu tugasan yang saya gagal lakukan. Saya kini berasa amat kesal dan bersalah. Akan tetapi takkan saya biarkan nasi menjadi bubur, jangan sampai harapan terkubur. Maka, ingin sungguh niat di hati untuk mengucapkan....

SELAMAT HARI JADI KEPADA NAIB PRESIDENT PENDIDIKAN DR KAISAN!!!

Semoga hidup saudara terus berbahagia. Hari jadinya ini yang keberapa, itu tanyalah pada tuan yang empunya.

Kini akhirnya selesailah tugas saya. Sekian, terima kasih.
Kita jumpa lagi tahun hadapan!

Hadzrin
Pengacara Mesyuarat terakhir 2009

Saudara saudari sekalian, kalau anda ingin mencuba mesyuarat Pidato, layarilah
http://pidatokualalumpur.blogspot.com/

Untuk mengetahui lebih lanjut lagi tentang masa dan tempat mesyuarat. Saranan saya ialah cubalah sekurang-kurangnya sekali, memang tidak akan menyesal.

Sekian sahaja laporan saya mengenai lawatan ke Kelab Pidato KL pada 21 Disember, menghadiri mesyuarat Pidato terakhir tahun 2009 yang memang menggemparkan.

Hasil nukilan Angeline Lee

2 Response to "Mesyuarat Pidato 21 Disember 2009"

.
gravatar
Anonymous Says....

Angeline...awesome! I read through the entire piece and thoroughly enjoy it... you even participated in the ucapan spontan, such bravery! Jani Ow

.
gravatar
Anonymous Says....

Wow Angeline...
Sungguh hebat tulisan anda dalam BM. Saya kagum dengan ucapan anda dan laporan yang diberikan. Jemput lagi ke mesyuarat Kelab Pidato KL.

Bakar.
Naib Presiden Keahlian
Kelab Pidato Kuala Lumpur
Tel: 012-2325670.

Leave A Reply